arena

Hafiz jurulatih baru BAM?

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pertemuan kedua dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen bakal mengesahkan juara Seluruh England 2003 Muhammad Hafiz Hashim sebagai jurulatih baru perseorangan wanita negara.

Hafiz dijangka tidak berdepan masalah menjawat jawatan berkenaan bermula September ini sekali gus menamatkan karier beliau selaku pemain perseorangan lelaki profesional dan bakal bekerjasama dengan ketua jurulatih, Tey Seu
Bock serta rakan sejawat dari Indonesia Rony Agustinus.

“Memang hari ini (semalam) saya ada berjumpa dengan Frost, namun perkara ini masih dalam perbincangan dan saya juga masih aktif sebagai pemain.

“Mungkin ada beberapa perkara saya perlu di selesaikan dulu dengan pertemuan kedua,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, beliau memang sudah bersedia menjadi jurulatih dan memikir pelbagai perkara apabila mengadakan perbincangan awal bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Frost.

“Saya juga ada menawarkan diri untuk membantu skuad negara dengan menjadi jurulatih dan setakat ini semuanya sangat positif serta berjalan lancar.

“Sekarang saya mempunyai kontrak dengan penaja (Apacs) dan masih bermain (bersama Kelab Biyuan). Jadi saya perlu berbincang dengan penaja dan jika membuat keputusan menjadi jurulatih semua perkara ini perlu dihentikan serta-merta,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 3:46am
d