arena

Melaka bakal lantik Almeida

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Teka-teki mengenai pengganti Eric Williams hampir terjawab selepas bekas pengendali T-Team Eduardo Almeida (gambar) dikatakan bakal mengisi kerusi ketua jurulatih Melaka United.

Jika apa diperkatakan itu benar, impian Dejan Antonic dan Arcan Iurie untuk menggantikan Williams, tidak menjadi kenyataan dan mereka boleh memikirkan mencari haluan baru.

Sebelum ini, Antonic dan Iurie hangat dikaitkan dengan jawatan ditinggalkan Williams tetapi Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) tampil dengan Almeida.

Pengurus Melaka Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, setakat ini, peluang Almeida adalah cerah berbanding Antonic dan Iurie.

“Bagaimanapun, keputusan akhir akan diketahui hari ini selepas perbincangan lanjut bersama Almeida. Setakat ini, beliau sudah bersetuju namun jawapannya akan ditentukan selepas pengurusan mengadakan pertemuan.

“Pengalaman luas jurulatih berkenaan antaranya sebagai bekas pengurus kelab antarabangsa Pinhalnovense, Angrense, Benfica (B-16) dan T-Team membuka mata kami untuk memilih beliau,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin Almeida akan menerima tawaran dikemukakan apatah lagi jurulatih itu pernah merasai kemeriahan Liga Malaysia.

Yusoff berkata, pengalaman Almeida di Terengganu bakal membantunya untuk memahami budaya dan keperluan pemain tempatan.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 10:22am
d