arena

Danial wira BudakBOLA

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Dua wakil Malaysia memperaga aksi mantap apabila bertembung sesama sendiri pada final Kejohanan Bola Sepak Remaja Bawah 11 Tahun Antarabangsa Singapura 2017 (JSSL 2017) di Turf City Singapura, baru-baru ini.

Saingan itu dimenangi Akademi Inspire BudakBOLA (BudakBOLA) dari Negeri Sembilan selepas menewaskan pasukan dari Selangor Akademi Tunas Petaling Perdana (ATPP) 1-0 hasil jaringan Danial Ikhwan Rezwat Shahril.

“Saya gembira kerana jaringan tunggal itu dapat membantu kami meraih kejuaraan hatrik selepas dua edisi yang lalu juga menjadi milik kami.

“Kejayaan ini bukan dicapai hasil usaha saya seorang tapi kerjasama dan komitmen semua rakan sepasukan yang bekerja keras memburu kemenangan.

“Saya amat puas hati kerana penyertaan terakhir dalam kategori 11 tahun membawa pulang kejayaan,” kata Danial yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan King George V, Ampangan.

Dua belas pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang turut membabitkan wakil dari Jepun dan Thailand serta tuan rumah, Singapura.

Katanya, kejohanan dijalankan secara liga manakala peringkat suku akhir dan separuh akhir mengikut format kalah mati.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 11:12am
d