arena

Syahir yakin lebur dominasi Thailand

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Tekong utama negara Mohd Syahir Rosdi (gambar kanan) melaungkan keyakinan untuk menamatkan kemarau emas acara berpasukan di Sukan SEA sejak kali terakhir Malaysia memenanginya pada edisi 1991 di Manila.

Dia memenangi emas antara regu pada edisi 2015, menamatkan kemarau 10 tahun dalam acara itu, menaruh keyakinan untuk memastikan acara berpasukan mampu didominasi skuad negara edisi ke-29 ini.

“Kalau boleh saya bukan saja mahu mendapatkan emas acara antara regu, bukan saja emas untuk lima pemain namun untuk 12 pemain acara berpasukan.

“Itu harapan saya. Kita tidak mahu lawan membawa pulang emas dengan mudah terutama dalam acara yang sudah lama kita tidak menang,” kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Tekong yang mampu melakukan sevis kuda berkenaan sandaran utama negara untuk mempertahankan emas antara regu di Singapura dua tahun lalu.

Jelasnya, tiada lagi sebarang perasaan gerun buat pemain sepak takraw negara seandainya perlu menentang musuh tradisi Thailand untuk memburu emas nanti.

“Teknik tekong mereka memang hebat namun apabila sudah biasa bertemu dan bertanding dengan mereka, ia sudah tiada.

“Tempoh latihan dan pertandingan selama sebulan di Thailand sebelum ini membolehkan kita [membaca’ corak permainan mereka. Jadi saya fikir kami akan mampu atasi mereka pada Ogos nanti,” tambahnya.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 11:23am
d