arena

Tinggal satu slot lagi

Kuala Lumpur: Persekutuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menunggu sehingga siri ketiga Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS) minggu depan untuk menentukan satu slot untuk atlet recurve di Sukan SEA Ogos nanti.

Kejohanan dijadualkan berlangsung di Salt Lake City, Utah akan berlangsung minggu depan dengan empat pemanah recurve lelaki menggalas cabaran negara.

Tiga pemanah - Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin - sudah disahkan tempat namun kedudukan Muhammad Ikram Joni masih belum pasti.

“Jurulatih (Lee Jae-hyung) akan menilai prestasi Ikram di AS nanti. Beliau mahu melihat atlet itu melakukan panahan konsisten,” kata Setiausaha Kehormat NAAM Datuk Abdul Hamid Hasan.

NAAM sebelum ini turut menamakan Zharif Syahir sebagai pengganti sekiranya Ikram tidak mencapai prestasi yang diharapkan pengendali dari Korea Selatan itu.

“Jika dia mampu memuaskan hati jurulatih sudah pasti akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya terutama kelebihan dalam aspek pengalaman.

“Namun pada masa sama kita turut tidak menafikan pencapaian cemerlang Zharif terutama apabila memenangi acara individu dan berpasukan di Kejohanan Memanah Asia Tenggara di Myanmar pada awal tahun ini,” tambahnya.

Malaysia meletakkan sasaran untuk mempertahankan emas acara berpasukan Ogos nanti.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 6:07am
d