arena

Makin kemas

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Enam aksi persahabatan sepanjang rehat Liga Malaysia dan Ramadan sedikit-sebanyak membantu pembentukan persefahaman positif dalam kalangan pemain skuad Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jurulatih PDRM, Fauzi Pilus berkata aksi berkenaan termasuk bertemu PJ Rangers, UKM FC, MOF, PKNS FC dan Sime Darby membolehkannya mengenal pasti kelebihan dan kekurangan pasukan.

Menurutnya, ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan setiap kekurangan itu diperkemaskan ketika sesi latihan sebagai langkah pencegahan untuk tidak diulangi.

Katanya, apa yang membanggakan mereka memiliki komitmen tinggi untuk tidak mengulangi kesilapan sama dan efektif bekerjasama bagi membentuk gabungan lebih meyakinkan.

Baginya, dia tidak melihat keputusan perlawanan persahabatan terbabit sebagai keutamaan sebaliknya mahu apa yang ingin diterapkan direalisasikan anak buahnya.

“Justeru saya harapkan mereka kental fokus pada setiap saingan liga untuk memperbaiki kedudukan pasukan dan mengintai peluang kembali ke Liga Super musim depan.

“Sekali lagi saya mengharapkan pemain memiliki moral dan motivasi tinggi menerusi kemenangan 4-1 ke atas PKNP sebelum ini.

“Jika rentak itu dikekalkan, tidak mustahil pemain mampu menyumbang kemenangan kepada pasukan,” katanya.

The Cops kini menduduki tangga ketujuh liga, berkongsi mata dengan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) dengan 20 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 4:55am
d