arena

Kontroversi lagi!

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sekali lagi dilanda kontroversi apabila berdepan masalah pengesahan rekod kebangsaan membabitkan acara 100 meter wanita.

Episod sama yang pernah terjadi kepada Badrul Hisyam Manap dalam acara 100m dua tahun lalu kini berulang.

Semalam KOM mengesahkan rekod kebangsaan yang dicipta oleh Olimpian negara Zaidatul Husniah Zulkifli di Afrika Selatan Mac lalu tidak diiktiraf hingga penganjur memberi dokumen pengesahan.

Atlet dari Alor Setar itu mencatat kepantasan 11.45 saat pada Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan, memadamkan rekod lama 11.50s milik G Shanti yang dilakukannya pada aksi Pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.

Namun perkara itu kini menjadi persoalan apabila Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim memaklumkan hingga kini tiada sebarang pengesahan diterima daripada penganjur kejohanan.

“Untuk pengesahan rekod, kami perlukan bukti. Tapi hingga kini masih belum ada sebarang maklum balas diterima.

“Surat sudah dihantar seminggu selepas Zaidatul melakukan catatan itu tapi mereka masih lagi mendiamkan diri.

“Bagi mengesahkan sebarang rekod, butiran terperinci diperlukan kerana ia bukan perkara main-main,” katanya pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan dan kejurulatihan KOM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.

Mengukuhkan perkara itu, Karim memaklumkan catatan Husniah 11.45s itu juga tidak berada dalam senarai ranking Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF).

Selain Zaidatul pelari 400m, Azam Masri turut sama terkena tempias apabila catatan terbaik peribadi dalam acara 100m, 10.22s juga tidak diiktiraf kerana masalah teknikal.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 11:55am
d