arena

Bukan lari, Ariff mohon maaf

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: “Saya bukan menghilangkan diri, saya hanya menjalani latihan bersama Kedah, mungkin ada kesilapan dan salah faham di sini jadi saya mohon maaf,” kata pemain pertahanan Muhd Ariff Farhan Mat Isa.

Pemain berusia 20 tahun itu mencetus kontroversi apabila dilaporkan menghilangkan diri daripada kem latihan pusat skuad bawah 22 tahun negara (B-22) kendalian Datuk Ong Kim Swee minggu lalu.

Ketiadaan Ariff hanya disedari selepas Kim Swee dan pasukan pulang ke tanah air Jumaat lalu selepas selesai mengharungi tiga aksi persahabatan di China.

Ariff tidak bersama pasukan kerana mengalami kecederaan dan diminta menjalani rawatan pemulihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Menurutnya, dia pulang ke Kedah selepas pulih dan berlatih bersama skuad Lang Merah sementara menunggu rakan sepasukan pulang dari China.

“Memang saya ada melakukan rawatan pemulihan seperti yang diarahkan di Wisma FAM, tapi bila saya kembali OK, saya pulang ke Kedah pada cuti hujung minggu. Tapi saya bukan balik bercuti tapi berlatih dengan Kedah dan kembali melaporkan diri di Wisma FAM semalam (kelmarin).

“Mungkin silap saya kerana tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan, saya memohon maaf tapi sememangnya saya mahu bersama pasukan bawah 22 tahun negara, kerana itu saya kembali semula selepas berlatih dengan Kedah,” katanya kepada Arena Metro.

Tindakan Ariff itu mengundang rasa tidak puas hati Kim Swee dan memintanya memberikan alasan kukuh.

“Saya akan bertemu dengan Kim Swee dan menjelaskan semua perkara ini. Saya amat berharap ia dapat diselesaikan dengan baik dan saya masih diberi peluang untuk menyertai pasukan,” kata Ariff.

Skuad B-22 negara yang kini dalam persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan depan dan Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos menyambung kembali latihan pusat hari ini selepas pulang dari China.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 12:05pm
d