arena

'Dapat satu pingat pun OK'

Kuala Lumpur: Skuad bola tampar negara mengakui sukar untuk meraih emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini biarpun mempunyai kelebihan selaku tuan rumah.

Bagaimanapun, bagi pemain negara Sim Jian Qin, mereka akan tetap berusaha memberi yang terbaik biarpun sedar kekuatan pemain dari Thailand.

Katanya, Thailand adalah gergasi utama dalam sukan bola tampar Asia Tenggara yang kini memburu emas keempat berturut-turut dimenangi sejak Sukan SEA Palembang, 2011.

“Sukar untuk kita meraih emas, tapi saya yakin sekurang-kurangnya mampu menyumbangkan satu pingat.

“Sebagai salah seorang pemain yang pernah beraksi dalam skuad negara sebelum ini di Singapura, saya rasa kita mempunyai sedikit kelebihan.

“Pihak lawan mungkin tidak dapat membaca strategi kita kerana majoriti skuad bola tampar kali ini dibarisi ramai muka baru,” katanya.

Sementara itu, bagi jurulatih Tay Yeu Siong sebagai persediaan, satu pertandingan Pra Sukan SEA akan diadakan bulan depan membabitkan cabaran lapan pasukan jemputan dari Thailand, Indonesia dan beberapa lagi pasukan berstatus profesional.

Ia adalah fasa terbaik untuk melihat kelemahan yang perlu diperbaiki sebulum Sukan SEA KL bermula.

Kali terakhir skuad bola tampar lelaki negara meraih pingat adalah perak pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Perak itu pingat tunggal pernah diraih skuad bola tampar negara sejak sukan itu diperkenalkan pada 1977.

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 4:09am
d