arena

'Nak lapor...silakan'

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Bekas jurulatih Melaka United Eric Williams bebas membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) seandainya tidak berpuas hati dengan isu pemecatannya mahupun soal pampasan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, mereka sedia berdepan apa saja kemungkinan selepas mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan Williams gara-gara prestasi hambar pasukan.

Menurutnya, Williams masih memiliki baki kontrak bersama MUSA sehingga Disember nanti, namun khidmatnya terpaksa ditamatkan lebih awal.

Katanya, pengendali itu juga diberi pilihan melatih skuad Piala Presiden atau Piala Emas Raja-Raja Melaka selepas digugurkan daripada skuad Liga Super.

“Kami juga menawarkan bayaran tiga bulan gaji untuk penamatan kontrak. Jika beliau bersetuju, ia boleh dianggap sebagai penyelesaian menang-menang buat kedua-dua belah pihak.

“Apapun, kami tidak gentar jika Williams membawa perkara terbabit kepada FIFA atau mahkamah seperti didakwanya,” katanya.

Beliau berkata, surat rasmi mengenai pilihan itu sudah dihantar kepada Williams, tetapi pengendali itu masih belum memberi sebarang jawapan.

Yusoff berkata, MUSA terpaksa menggantikan khidmatnya dengan pengendali baru Eduardo Almeida
dari Portugal selepas prestasi Melaka semakin merudum.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 4:13am
d