arena

120 pesilat tamat kursus lanjutan jurulatih

Sintok: Seramai 120 peserta daripada 15 perguruan menamatkan kursus lanjutan Kejurulatihan 1Sekolah 1Silat peringkat kebangsaan anjuran PESAKA Kedah di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah, baru-baru ini.

Antara pertubuhan mengambil bahagian adalah Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Pertubuhan Silat Seni Lincah Malaysia, Pertubuhan Silat Seni Serantau Malaysia, Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, Pertubuhan Silat Singa Berantai, Persatuan Silat Seni Sendeng Harimau, Persatuan Silat Seni Pendekar Merah Muda, Pertubuhan Silat Seni Cekak Malaysia, Persatuan Silat Cekak Hanafi, Persatuan Silat Abjad, Persatuan Silat Gayong Harimau Hitam, Persatuan Silat Seni Bentara Garang, Pertubuhan Silat Tekpi Malaysia, Persatuan Silat Rewang Jawa dan Persatuan Silat Seni Selendang Merah.

Kursus itu bermatlamat melahirkan lebih ramai jurulatih dan dapat mengajar ilmu persilatan di sekolah seluruh negara.

Pengerusi PSSGM Cawangan Kedah Ishak Taib berkata, kursus itu boleh dianggap paling berjaya kerana mendapat sambutan hebat dengan penyertaan terbanyak.

“Kami berharap program ini dapat dimanfaatkan semua peserta, sekurang-kurang dapat membantu pihak kementerian merealisasikan 1Sekolah 1Silat,” katanya.

Seorang peserta dari PSSGM Shahiran Mohamad Ali berkata, program seumpama itu akan melahirkan gurulatih dan jurulatih bertauliah untuk memperluaskan empayar silat terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan juga masyarakat Melayu.

“Saya rasa program ini cukup bagus dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Kami semua cukup teruja dapat menyertainya,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 4:30am
d