arena

Mexico hampiri separuh akhir

Sochi, Russia: Penyerang Oribe Peralta meledak gol kemenangan Mexico ketika bangkit meraih kemenangan 2-1 ke atas New Zealand awal pagi semalam sekali gus meletakkan mereka di ambang separuh akhir Piala Konfederasi.

Selepas penyerang Leeds United, Chris Wood membantu All Whites mendahului pada babak pertama, gol babak kedua daripada penyerang Benfica, Raul Jimenez dan Peralta memastikan kemenangan itu.

Keputusan di Sochi menyaksikan Mexico mengatasi Portugal, yang terdahulu menewaskan Russia 1-0 di Moscow, ke tangga teratas Kumpulan A dengan perbezaan gol dijaringkan.

Pasukan kendalian Juan Carlos Osorio itu kini hanya memerlukan seri menentang Russia di Kazan malam esok bagi memastikan layak ke separuh akhir namun New Zealand berada di tangga tercorot kumpulan itu dan sudah tersingkir.

Jurulatih New Zealand, Anthony Hudson berazam mahu bangkit selepas kecundang 0-2 kepada Russia hujung minggu lalu.

“Setiap orang amat kecewa dalam bilik persalinan dan kami berasa sepatutnya kami meraih keputusan lebih baik,” kata Hudson.

“Ia persembahan menakjubkan daripada kami pada babak pertama.

“Tapi 10 minit pertama selepas rehat kami memberikan mereka terlalu banyak ruang dan masa untuk memegang bola.” - AFP

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 4:36am
d