arena

Belum tiba masa berehat

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India bukan bermakna berakhir sudah misi skuad negara, sebaliknya Malaysian Tigers sudah bersedia membuat perhitungan kembali dengan pemenang emas Sukan Olimpik Argentina pada aksi separuh akhir kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia hari ini.

Tegas ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen, belum tiba masa untuk anak buahnya berehat kerana mereka mahu menamatkan saingan kali ini di kedudukan paling baik.

“Kita akan membentuk semula pasukan. Tak bermaksud lepas layak ke Piala Dunia kita boleh berasa selesa.

“Pastinya ia perlawanan yang cukup sukar,” katanya yang menyaksikan anak buahnya tewas 2-5 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan dengan Argentina.

Pertahanan berpengalaman Muhamad Razie Abdul Rahim turut sependapat dengan Stephen sambil menegaskan mahu melakukan kejutan ke atas lawan mereka itu.

“Sasaran awal adalah untuk menamatkan saingan di sini di kedudukan empat terbaik. Tapi kami akan cuba juga untuk mara ke final,” katanya.

Semalam Malaysia mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2018 selepas menewaskan gergasi Asia, India 3-2 pada aksi suku akhir.

Berdasarkan format kejohanan, lima pasukan terbaik daripada setiap saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London dan Johannesburg (8-23 Julai) akan secara automatik menempah tiket ke Piala Dunia 2018.

Mengulas kejayaan itu, Stephen memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan barisan pemainnya sehingga minit akhir perlawanan.

“Mereka beraksi dengan sangat baik dan yang paling penting kita kini layak ke Piala Dunia 2018 secara merit.

“Walaupun pada satu ketika mendahului, kita kemudian membenarkan lawan menyamakan kedudukan. Setiap pemain bagaimanapun berjuang sehingga tamat perlawanan untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.

Pada perlawanan semalam, Razie memperoleh gol pertama untuk skuad negara menerusi pukulan sudut penalti minit minit ke-19.

Malaysia mengukuhkan kedudukan apabila seminit selepas itu penyerang negara Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menampan kemas masuk ke gawang lawan menerusi pukulan sudut penalti Razie.

Bagaimanapun kedudukan 2-0 itu tidak bertahan lama apabila Ramandeep Singh menyumbang dua gol pantas minit ke-31 untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan bersaing untuk mencari gol kemenangan.

Razie muncul wira pasukan negara apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-48.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 6:19am
d