arena

Habuan Malaysian Tigers

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, skuad hoki lelaki negara mendapat khabar gembira apabila mereka akan dipertimbangkan untuk disenaraikan ke Program Podium.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) yang menganggap pencapaian diraih skuad hoki negara itu satu kejayaan besar.

“Selepas berakhir Sukan SEA, saya sudah minta jawatankuasa penilaian bagi Program Podium mempertimbangkan untuk hoki lelaki disenaraikan ke dalam progam.

“Ini berdasarkan kepada pendekatan Program Podium iaitu sekiranya satu-satu sukan itu menunjukkan kemajuan, maka kita sedia untuk melakukan penilaian dan kemudian mempertimbangkan untuk memasukkannya ke dalam program.

“Begitu juga sebaliknya. Kita mengamalkan konsep keluar dan masuk,” katanya

Pada aksi suku akhir semalam, skuad negara mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan India 3-2 sekali gus mara ke saingan separuh akhir kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Skuad negara akan bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Argentina hari ini.

Sementara itu, Khairy berharap kejayaan skuad hoki negara akan meningkatkan semangat pasukan wanita untuk cuba meraih keputusan terbaik.

Skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika ini sedang beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium yang juga kempen kelayakan untuk Piala Dunia 2018.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 6:22am
d