arena

Yee See perlu timba pengalaman, lebih fokus

Kuala Lumpur: Meskipun tersingkir di suku akhir Terbuka Australia semalam, gandingan Chan Peng Soon-Cheah Yee See nyata sudah mempamerkan aksi terbaik walaupun baru digandingkan.

Malah Peng Soon yang memenangi perak Sukan Olimpik Rio tahun lalu berharap Yee See yang lebih muda daripadanya terus belajar daripada pengalaman dan kekal fokus.

Beregu campuran negara itu tewas 8-21, 17-21 kepada pilihan ketujuh Praveen Jordan-Debby Susanto dari Indonesia di Pusat Sukan Olimpik Sydney.

“Saya langsung tidak berasa kecewa. Yee See masih muda dan secara perlahan-lahan dia akan memperoleh rentak permainan sebenar.

“Dia memerlukan masa untuk memperbaiki corak permainannya. Kami semua juga melalui proses sama.

“Tiada apa yang perlu dimalukan dengan kekalahan ini. Kami masih mempunyai beberapa kejohanan yang akan disertai dan saya yakin prestasi sebenar dapat dipamerkan terutama pada Sukan SEA di Kuala Lumpur,” katanya.

Peng Soon digandingkan dengan Yee See selepas pasangan asalnya, Goh Liu Ying masih belum pulih daripada kecederaan.

Sementara itu, beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut terkandas di suku akhir apabila tewas kepada lawan yang menduduki ranking ke-10 dunia Liu Cheng-Zhang Nan dari China 14-21, 21-12, 21-15.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 6:31am
d