arena

Kembang minat dunia fesyen

Oleh Saiful Affendy Sapran

Melihat aksi Mohd Rozaiman Mohd Said di atas litar, tiada siapa pernah terlintas di fikiran pelumba berusia 28 tahun itu mempunyai kecekapan dalam menjalankan perniagaan.

Malah, perniagaan diceburinya bukan calang-calang, sebaliknya dipelopori kaum hawa - memiliki kedai jahit dan koleksi baju rekaan sendiri!

Jelas Rozaiman, segala inspirasi dan idea untuk menjalankan perniagaan itu bertitik tolak daripada isterinya sendiri, Nurdiana Azhar.

“Sebenarnya perniagaan yang saya jalankan ini bukan baru, sebaliknya bermula hampir lima tahun lalu.

“Isteri saya sebelum ini adalah seorang model. Apabila dia sering mengenakan pakaian daripada jenama tertentu dan muat naik gambar di facebook, ramai yang berminat dan bertanyakan kepadanya mengenai rekaan baju itu.

“Dari situ, timbul idea mengapa tidak saya serta isteri mengusahakan dan mempunyai jenama sendiri pakaian kami.

“Kami kemudian cuba membuat rekaan sendiri dan mempromosikannya secara dalam talian termasuk di facebook.

“Alhamdulillah, sehingga kini perniagaan kami berkembang dengan sangat baik,’” katanya.

Rozaiman yang mempunyai kedai jahit di Bukit Jambul, Pulau Pinang mengakui dia serta isterinya bukan tergolong daripada mereka yang pandai menjahit baju.

“Tapi, saya memang suka fesyen terkini. Saya rasa seronok apabila orang ramai memakai baju daripada rekaan kami.

“Saya memang tak pandai menjahit, tapi amat ambil berat soal kualiti dan perniagaan. Pendek kata saya lebih kepada soal menguruskan perniagaan ini.

“Isteri pula tertumpu kepada rekaan pakaian.

“Untuk melicinkan perniagaan, kami mengupah tiga pekerja yang sememangnya pakar dalam menjahit pakaian,” katanya.

Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Rozaiman berkata, dia serta isterinya sememangnya tidak menang tangan melayan kerenah dan tempahan daripada orang ramai.

“Alhamdulillah, kami menerima banyak tempahan.

“Pada hari biasa juga tempahan diperoleh cukup baik. Pelanggan bukan terbatas di sekitar Pulau Pinang saja, sebaliknya kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran sehingga ke Kelantan, Brunei dan Indonesia,” katanya.

Melihat kepada perniagaan yang cukup baik itu, Rozaiman berkata, dia merancang untuk mengembangkan perniagaannya itu termasuk bercita-cita untuk membuka kedai butik sendiri.

“Pada masa sama, tidak mungkin saya meninggalkan dunia permotoran kerana sukan itu minat utama,” katanya.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari facebook D’A Collection’s.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 6:34am
d