arena

Farahiyah idam emas KL2017

Kuala Lumpur: Selepas sekadar meraih gangsa di Sukan SEA 2013 Myanmar, kapten skuad futsal wanita negara Farahiyah Muhd Ridzuan percaya peluang mereka untuk memperbaharui pencapaian itu cerah pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur Ogos ini.

Berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri serta peningkatan prestasi pemain, dia melihat bukan sesuatu yang mustahil untuk melakukan kejutan ke atas pasukan pilihan Thailand dan Vietnam kali ini.

“Thailand dan Vietnam pasukan yang kuat, malah kita juga kena berjaga-jaga dengan Indonesia. Tapi pada saya ia bukan satu masalah kuat kerana kita main untuk menang.

“Saya sebagai kapten yakin dengan pasukan, insya-Allah kita boleh menang emas,” kata Farahiyah.

Gadis berusia 24 tahun ini mungkin bertubuh kecil namun dia antara pemain yang cukup berpengalaman apabila sudah menyarung jersi kebangsaan sejak berusia 14 tahun.

Malah, Farahiyah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan antara pemain yang memenangi gangsa empat tahun lalu apabila menewaskan pasukan tuan rumah 4-2.

“Mungkin pada 2013, kita hanya menang gangsa tapi kali ini peluang lebih cerah kerana ramai pemain muda serta semangat berpasukan yang tinggi,” katanya.

Skuad futsal wanita negara sedang giat membuat persiapan dan terbaru, mereka menewaskan Hong Kong dua kali dalam aksi persahabatan, 5-3 dan 2-1.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 5:11am
d