arena

Tak pernah mengalah

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara mempamer semangat melawan tinggi sebelum tewas tipis 1-2 kepada pasukan ranking pertama dunia Argentina pada aksi separuh akhir kempen Separuh Akhir Liga Hoki dunia di London, England semalam sekali gus gagal mara ke pentas final.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Stephen Van Huizen terlepas peluang untuk membalas dendam kekalahan 2-5 kepada Argentina pada aksi peringkat Kumpulan A sebelum ini.

Dengan keputusan itu, Malaysian Tigers yang sudah pun mengesahkan tiket secara merit ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India akan beraksi pada penentuan tempat ke-3/4 hari ini.

Skuad negara perlu memenangi perlawanan hari ini sekiranya mahu beraksi pada Final Liga Hoki Dunia yang juga akan berlangsung di Bhubaneswar, Disember depan kerana berdasarkan format kejohanan, hanya tiga pasukan daripada London yang layak beraksi di saingan itu.

Pada perlawanan semalam yang berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley, Malaysia memperoleh pukulan sudut penalti pertama minit ke-5, tetapi penjaga gol Argentina Juan Vivaldi berjaya menafikan tolakan Faizal Saari.

Malaysian Tigers memperoleh pukulan sudut penalti tiga minit kemudian, tetapi tolakan Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya dinafikan sekali lagi oleh Vivaldi.

Lucas Vila akhirnya meletakkan Argentina di depan selepas menampan pukulan sudut penalti Gonzalo Peillat minit ke-13.

Malaysia memperoleh satu lagi pukulan sudut penalti minit ke-15 tetapi sekali lagi mereka mensia-siakannya.

Bersambung babak kedua, Argentina menambah gol kedua menerusi jaringan padang Manuel Brunet minit ke-34.

Fitri Saari akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi penalti stroke minit ke-38 selepas Faizal Saari dikasari berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Penjaga gol negara S Kumar beraksi cemerlang menafikan pukulan sudut penalti Peillat minit ke-48.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 5:25am
d