arena

Tempat keempat, tewas kepada England

Oleh Saiful Affendy Sapran

 

Skuad hoki negara menamatkan kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dengan menduduki tempat keempat selepas tewas 1-4 kepada tuan rumah England pada perlawanan penentuan tempat ke-3/4 hari ini di London.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia turut gagal menempah tiket ke Final Liga Hoki Dunia di Bhubaneswar, India, Disember ini kerana berdasarkan format kejohanan, hanya tiga pasukan terbaik daripada London yang layak beraksi di saingan itu.

Bagaimanapun skuad negara tetap mencapai sasaran apabila layak secara merit untuk beraksi ke Piala Dunia 2018 menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga menjadi kempen kelayakan untuk saingan berprestij itu.

Skuad negara gagal bermula dengan baik apabila England di depan seawal minit ke-5 menerusi pukulan sudut penalti Harry Martin sebelum David Ames menambah gol kedua hasil jaringan padang minit ke-9.

Dua minit sebelum berakhir babak pertama England berjaya menambah gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Martin.

Penyerang negara Faizal Saari merapatkan jurang hasil gol padang minit ke-53 sebelum Phil Roper mengesahkan kemenangan untuk England dengan gol keempat seminit sebelum tamat perlawanan.

 

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 1:05am
d