arena

Vettel layak 'makan penumbuk'

Oleh Agensi

Baku: Sebastian Vettel (gambar kiri) yang ‘takut’ kerana tertekan sewaktu melakukan ‘keganasan’ ketika Grand Prix Azerbaijan mungkin bakal ‘makan penumbuk’ Lewis Hamilton.

Bos Mercedes Niki Lauda yang juga juara dunia tiga kali dan pengerusi bukan eksekutif pasukan ‘Silver Arrows’ berkata, beliau tidak pernah menyaksikan sesuatu seperti itu sebelum ini apabila Vettel merempuh Ferrari yang dipandunya ke kereta Mercedes Hamilton pada pusingan ke-19 perlumbaan itu.

Ketika Vettel, juara dunia empat kali dari Jerman itu - berdepan dengan reaksi global, kebanyakannya kecewa dengan tindakan dan sikapnya - mencari nombor telefon Hamilton untuk perbualan peribadi, ramai pemerhati berkata, penalti 10 saat dikenakan kerana insiden berkenaan tidak memadai.

Lauda mencadangkan pemandu Ferrari itu patut digantung satu perlumbaan dan beliau meramalkan Hamilton mungkin tidak akan mengambil masa lama untuk membalas.

“Saya tidak faham kenapa dia melakukan apa yang dilakukannya. Vettel seorang yang baik, selalunya. Jadi, saya tidak faham kegilaannya. Lewis akan membalas baik, satu hari nanti. Bukan dengan kereta, tapi penumbuk.”

Hamilton menamatkan cabaran di tempat kelima, satu tempat di belakang Vettel.

Daniel Ricciardo yang memandu Red Bull muncul juara manakala rakan Hamilton, Valtteri Bottas kedua. Pemandu Williams berusia 18 tahun Lance Stroll ketiga.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 9:26am
d