arena

Peluang Nabil belum tertutup

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Masih ada peluang cerah untuk pelumba single seater negara Muhammad Nabil Jeffri (gambar) memenuhi impian beraksi di saingan Formula Satu (F1) meskipun Malaysia tidak lagi menganjurkan perlumbaan berprestij itu.

Pengurus pelumba itu, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad berkata, perancangan rapi sudah dilakukan untuk Nabil dengan sasaran seawal-awalnya pada 2019 dia dapat beraksi di perlumbaan berprestij berkenaan.

Bagaimanapun Syed Alfeizal menegaskan, segala-galanya bergantung kepada prestasi semasa pelumba itu selain sokongan padu penaja yang ketika ini agak kurang.

“Untuk beraksi di saingan F1 bukan mudah. Segala perancangan perlu dilakukan lebih awal.

“Pertama Nabil sendiri perlu konsisten pada saingan GP2 yang disertainya ketika ini dan pada masa sama kami perlu mendapatkan tajaan.

“Kenapa 2019? Sebab saya tidak mahu Nabil pergi ke F1 dengan tidak bersedia sepenuhnya.

“Ketika ini dia beraksi pada musim kedua di GP2 dan kemungkinan besar tahun depan juga sama tapi dengan pasukan yang lebih baik,” katanya.

Jelasnya, berbekalkan bakat yang ada pada Nabil, tidak mustahil untuknya memenuhi impian beraksi di F1.

Nabil ketika ini beraksi bersama pasukan Trident pada saingan GP2 yang juga perlumbaan sokongan untuk F1.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 10:10am
d