arena

Terasa bahang

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (gambar) mengakui sudah tertekan untuk mempertahankan gelaran Mr Asia dan Mr Universe tahun ini.

Saingan Mr Asia dijadualkan berlangsung di Korea Selatan, Ogos ini manakala Mongolia menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan Dunia pada Oktober.

“Tekanan sudah pasti ada apabila saya mahu mempertahankan dua gelaran besar ini. Namun ketika ini fokus adalah mempertahankan gelaran Mr Asia terlebih dulu.

“Saya fokus untuk menguatkan mental, sentiasa memberikan motivasi kepada diri sendiri supaya tidak berputus asa kerana ingin melakar gelaran hatrik Mr Asia kali ini,” jelasnya.

Calon Olahragawan Negara 2016 itu mengakui saingan di Seoul pasti sengit terutama dengan peserta tuan rumah serta pencabar utama dari Mongolia Galbadrakh Jamts.

“Saya perlu berwaspada dengan prestasi Galbadrakh yang saya lihat bakal mencabar di pentas Mr Universe nanti. Ia peluang awal saya untuk melihat aksinya,” katanya.

Syarul Azman kini antara atlet bina badan negara yang diharapkan menaikkan nama Malaysia di pentas Asia dan dunia selepas ketiadaan Sazali Samad yang menjalani penggantungan empat tahun sejak 2015.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 10:17am
d