arena

Werner belum puas bantu Jerman

Oleh AFP

Sochi, Russia: Timo Werner (gambar) mengintai gemilang Piala Konfederasi bersama Jerman dan berharap dua gol dijaringkan ketika menentang Cameroon memadai untuk menyaksikannya diturunkan pada aksi separuh akhir menentang Mexico esok.

Pemain berusia 21 tahun itu membantu juara dunia itu mengesahkan kemenangan 3-1 di Sochi dengan dua gol pada separuh masa kedua dengan menanduk masuk hantaran lintang Joshua Kimmich sebelum meledak gol kedua untuk mententeramkan keresahan Jerman selepas Vincent Aboubakar menjaringkan gol sagu hati Cameroon.

Kemenangan ke atas Cameroon itu bermakna Jerman terus kekal di Sochi untuk bertemu Mexico bagi tempat ke final di Saint Petersburg, Ahad ini dengan Chile dan Portugal berentap dalam satu lagi separuh akhir di Kazan, esok.

“Sukar bermain menentang Mexico tapi kami beraksi baik setakat ini dan saya fikir kami berpeluang pergi melangkaui separuh akhir,” kata Werner yang bermain untuk RB Leipzig.

“Kami sudah berada di separuh akhir, jadi sudah semestinya matlamat selepas ini adalah mara ke final.

“Untuk berkata yang kami mahu menang final mungkin agak keterlaluan, tapi kami memang mahu tidak mahu bermain untuk tempat ketiga.”

Penyerang itu mempunyai ketajaman di depan gol dan membalas kepercayaan Joachim Loew dengan persembahan pemain terbaik perlawanan yang mungkin menyaksikannya dihadiahkan dengan berada dalam kesebelasan utama menentang Mexico.

“Timo benar-benar membuktikan dia berhak diberikan perhatian,” kata Loew selaku ketua jurulatih Jerman.

“Pada mulanya, serangan kami agak hambar jadi dia tidak berupaya menjumpai sasaran.

“Tapi lain ceritanya selepas rehat. Dia lebih banyak berada dalam kotak penalti. Di situ Timo lebih berbahaya dan dia juga mempunyai deria seorang pemusnah.

“Dia berhak ke atas kedua-dua gol itu kerana bekerja keras untuk mendapatkannya.”

Werner adalah antara tiga pemain yang setakat ini sudah menggegarkan gawang dua kali di kejohanan itu.

Dia berada setaraf dengan pemain bintang Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukan Lars Stindl.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 11:02am
d