arena

De Boer pimpin Palace

Oleh AFP

London: London: Bekas pemain antarabangsa Belanda Frank de Boer (gambar) dilantik menjadi pengurus baru Crystal Palace bagi menggantikan Sam Allardyce.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam mengumumkan yang pengurus berusia 47 tahun itu - mengemudi Ajax untuk empat takhta liga berturut-turut sebelum musim pendek mengecewakan bersama gergasi Serie A Inter Milan -

akan mengikat kontrak tiga tahun.

Beliau mengisi kekosongan ditinggalkan Allardyce yang berundur pada hujung Mei lalu sejurus selepas membawa Palace keluar daripada zon penyingkiran.

Pengerusi Palace Steve Parish gembira dengan pelantikan de Boer - satu-satunya pengurus dalam sejarah Belanda yang berupaya mengemudi sesebuah kelab untuk menjuarai empat takhta berturut-turut - apabila menyifatkan kehadiran jurulatih berkenaan sebagai penanda aras untuk kelab London itu.

“Pelantikannya adalah rahsia yang sukar disimpan dalam bola sepak,” katanya pada sidang media.

“Beliau sesuatu yang mengujakan kelab ini, penanda aras menakjubkan buat kami. Saya tidak sabar-sabar untuk bekerja dengannya bagi mencapai sesuatu membanggakan bersama.”

Bagaimanapun de Boer tidak menaruh harapan tinggi.

“Matlamat asal adalah untuk menjadi pasukan Liga Perdana yang jitu dan tidak berhempas pulas dengan penyingkiran.

“Itu matlamat utama, jika kami dapat melakukan lebih daripada itu, ia sudah bagus,” katanya.

De Boer mewarisi skuad berbakat tetapi berkata akan berbelanja untuk mengukuhkan pasukan itu.

Bek tengah antarabangsa Perancis Mamadou Sakho mungkin seorang daripadanya selepas begitu mengagumkan ketika dipinjamkan daripada Liverpool musim lalu.

“Kelab ini boleh berkembang. Mereka sedia untuk berbelanja dan mungkin kami dapat sesuatu yang berbaloi dengan duit itu,” kata de Boer.

“Saya belum bertemu pemain lagi. Kami melihat untuk mendapatkan satu atau dua pemain baru tapi saya fikir penting untuk berjumpa semua pemain terlebih dulu.”

De Boer dan kembarnya Ronald adalah sebahagian daripada pasukan berbakat Belanda yang tewas sepakan penalti kepada Brazil pada separuh akhir Piala Dunia 1998.

Beliau kemudian mengalami satu lagi kekecewaan sepakan penalti pada separuh akhir Euro 2000 ketika menentang Itali. Lebih malang, de Boer gagal menyempurnakan kedua-dua tendangan penalti yang diambilnya ketika perlawanan dan kemudian sewaktu sepakan penentuan. - AFP

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 11:04am
d