arena

Mahu pikat Vingada

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penyerang skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Safawi Rasid mengakui bersedia untuk menyertai skuad senior Harimau Malaya seandainya disenaraikan pengendali kebangsaan, Nelo Vingada.

Safawi yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT), mengakui teruja jika namanya kembali disenaraikan bersama skuad senior selepas pernah disenarai pendek untuk berada dalam pasukan Piala AFF Suzuki tahun lalu.

“Saya pernah dipanggil bersama skuad kebangsaan sebelum ini. Justeru, saya rasa tidak akan menjadi masalah.

“Saya percaya kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda akan menjadikan pasukan negara lebih kuat pada masa akan datang,” katanya.

Seorang lagi pemain utama skuad B-22, Adib Zainuddin berkata, sekiranya diberi peluang dia akan memberikan aksi terbaik bersama skuad kebangsaan, sekali gus cuba memikat hati Vingada.

“Sudah tentu saya akan gunakan setiap peluang diberikan jika jurulatih kebangsaan (Vingada) memanggil saya.

“Banyak pengalaman yang saya peroleh sepanjang menyertai skuad B-22 dan semua itu akan saya gunakan untuk pasukan senior pula,” katanya yang juga ketua pasukan negara.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 11:54am
d