arena

Pacquiao tak sabar tinju Mayweather

Oleh AFP

Melbourne: Manny Pacquiao (gambar kiri) mahu mencatat kemenangan ke atas petinju Australia Jeff Horn bagi mendorong Floyd Maywether Jr untuk ke perlawanan ulangan, kata jurulatih petinju Filipina itu, Freddie Roach.

Pacquiao yang dikalahkan Mayweather menerusi kiraan mata di Las Vegas pada 2015, akan mempertahankan gelaran welterweight WBO pada perlawanan menentang Horn di Brisbane, Ahad ini.

“Dia mahukan perlawanan ulangan menentang Mayweather,” kata Roach mengenai Pacquiao.

“Untuk menentang Mayweather, anda perlu berada pada prestasi terbaik.

“Menentang Horn, anda perlu kelihatan hebat.”

Mayweather yang bersara pada 2015 dengan rekod 49-0, setuju untuk kembali bertarung dalam perlawanan 12 pusingan menentang juara seni mempertahankan diri campuran Conor McGregor.

Pacquiao gagal memenangi perlawanan menerusi kiraan KO sejak 2009 tetapi Roach berkata, anak buahnya itu berpeluang untuk mengatasi Horn.

“(Pacquiao) tidak suka untuk meramalkan bahawa dia akan menang menerusi kiraan KO atau tidak tetapi saya suka,” kata Roach.

“Saya rasa perlawanan itu tidak akan memakan masa panjang. Jika lawan kami akan tampil dengan taktik yang dia katakan, Manny pasti mudah mengalahkannya dan ia akan menjadi perlawanan hebat tetapi tidak begitu lama. Pasti ada KO.”

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 12:10pm
d