arena

Yakin capai sasaran

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: “Sasaran lapan emas mampu dicapai.” Itu keyakinan yang dilaungkan pesilat negara Mohd Al-Jufferi Jamari (gambar) mengenai sasaran lapan emas di temasya Sukan SEA nanti.

Selain Jufferi, bebanan terarah kepada rakan sepasukannya yang lain untuk memastikan sasaran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) itu terlaksana.

“Saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan yang lain untuk menggalas tugas ini. Saya lihat mereka mahu mencari emas untuk negara. Mereka dahagakan kejayaan.

“Mereka nampaknya dapat mengikuti latihan dengan baik dan segala yang diajar dapat dituruti,” jelas Olahragawan Negara 2015 itu.

Tambah pesilat kelahiran Pahang itu, tiada tekanan untuk dirinya mempertahankan emas, malah menguatkan azam untuk sekali lagi muncul juara apabila diberikan harapan oleh PESAKA.

Skuad silat negara kini berada di Vietnam sejak 19 Jun lalu dan hanya akan kembali pada 7 Julai bagi persiapan akhir menghadapi Sukan SEA pada Ogos.

“Selepas menamatkan latihan di Vietnam, kami akan ke Gunung Ledang bagi mengukuhkan aspek mental dan kerohanian. Ia disusuli latihan di Cameron Highlands dan selepas itu terus menyertai saingan Sukan SEA.

“Kami perlu menghabiskan lebih banyak masa di lokasi yang tenang dan sejuk bagi menyesuaikan diri dengan venue pertandingan yang sejuk,” tambahnya.

Acara silat dijadualkan berlangsung di Dewan 2 KLCC dan menawarkan 20 emas secara keseluruhan.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 12:26pm
d