arena

'Satu jam pun cukup'

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: “Niat saya (Nur Ayuni Farhana Abdul Halim) hanya satu iaitu ingin membetulkan keadaan. Saya ingin bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memperjelaskan apa yang terjadi antara kami (atlet menembak) dengan pengurusan Program Podium.

Sebagai seorang menteri, beliau seharusnya memberi peluang kepada saya dan Muslifah (Zulkifli) untuk menjelaskan apa yang terjadi. Jika beliau hanya mendengar sebelah pihak ia adalah tidak adil. Itu namanya berat sebelah. Adilkah kepada kami sebagai atlet yang berjuang untuk negara?

Sekarang ini, perkara sudah menjadi semakin besar dan rumit apabila ramai pihak yang ‘salah faham’.

Apa yang menteri bidas sebelum ini membabitkan isu menembak banyak yang tidak betul. Ia sudah jauh menyimpang daripada topik asal.

Untuk makluman semua pihak dan secara jujurnya, saya tidak pernah ‘fight’ untuk mendapatkan tempat dalam skuad Sukan SEA. Tapi ada seseorang yang mengatakan nama saya tersenarai dalam senarai panjang ke Sukan SEA.

Bila saya tanya Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah MSN), beliau berkata, senarai nama hanya akan diumumkan oleh MOM (Majlis Olimpik Malaysia) pada Julai ini jadi saya memang tiada isu berkaitan dengan Sukan SEA.

Saya tidak mahu bergaduh untuk ‘berebut slot’ ke Sukan SEA. Saya tahu selepas kami digugurkan pada 23 Februari lalu harapan untuk ke Sukan SEA adalah tipis.

Apa yang membuatkan saya terkilan adalah kenapa mereka keluarkan kenyataan yang mengatakan kami digugurkan daripada skuad Sukan SEA kerana tidak berdisiplin.

Saya tidak rasa kenyataan itu ditujukan atas dasar penilaian yang mereka buat tapi sebenarnya atas dasar untuk menjatuhkan maruah kami.

Itu sebab saya menuntut permohonan maaf daripada pihak yang membangkitkan isu itu.

Bukan kerana kami mahu diserapkan ke dalam skuad Sukan SEA. Kenyataan yang dikeluarkan oleh MSN dan menteri sebelum ini sudah jauh menyimpang daripada topik asal.

Saya tak ingin tempat ke Sukan SEA. Tuntutan maaf itu sebenarnya atas sebab mereka kata kami tidak berdisiplin. Bukan sebab kami nak sangat berada dalam skuad Sukan SEA.

Ini membabitkan maruah dan reputasi kami. Selama ini kami berkorban untuk negara. Inikah balasan untuk kami?

Sekarang ini ramai yang keliru. Orang luar tidak tahu punca dan masalah sebenar. Itu sebabnya kami nak sangat berjumpa dengan menteri. Kami nak jelaskan apa yang terjadi sebenarnya.

Bukan minta dua, tiga jam. Cukuplah satu jam daripada 24 jam masa beliau.

Luangkan sekejap untuk mendengar penjelasan kami. Mungkin selepas mendengar penjelasan, beliau dapat memperbetulkan apa yang kurang dalam program podium ini,” kata atlet menembak negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim ketika diminta mengulas kenyataan Khairy berhubung isu yang membabitkan dirinya serta Muslifah.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 12:48pm
d