arena

Pulang awal rai kembar lelaki

Oleh Agensi

Sochi, Russia: Cristiano Ronaldo sah bergelar ayah kepada kembar lelaki dan tidak akan menyertai pasukannya untuk aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Konfederasi.

Kedua-dua bayinya itu dilahirkan di Amerika Syarikat dan ibu pemain bertaraf bintang itu dikatakan sudah menziarahi cucunya itu.

Portugal tewas di separuh akhir di tangan Chile tetapi akan terus berada di Russia untuk mengharungi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menentang sama ada Jerman atau Mexico.

Sebelum ini, berita mengenai kelahiran anaknya itu sudah diperkatakan ramai tetapi malam kelmarin, Ronaldo memuat naik kenyataan di laman Facebook peribadinya yang berkata dia akan meninggalkan Russia lebih awal untuk bersama-sama anak kembarnya itu buat kali pertama.

Dia menambah: “Saya sedang mengharungi tugas besar bersama skuad kebangsaan dan seperti biasa, saya menumpukan seluruh perhatian kepada kerja saya walaupun anak kembar saya baru dilahirkan.

“Malangnya, kami tidak berjaya mencapai sasaran yang kami mahukan tetapi saya percaya kami akan terus memberi kegembiraan buat semua warga Portugal.

“Presiden Persekutuan Bolasepak Portugal serta pegawai lain menunjukkan sikap yang sangat saya hargai dan saya tidak akan melupakannya seumur hidup.”

Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Portugal mengesahkan bahawa Ronaldo sudah mendapat kebenaran untuk meninggalkan Russia lebih awal bagi menemui anak kembarnya itu.

Dalam satu kenyataan, skuad kebangsaan Portugal berkata: “Presiden FPF dan seluruh warga skuad kebangsaan sudah tahu bahawa kapten Cristiano Ronaldo sudah bergelar ayah.

“Sumbangannya tetap sama walaupun pada ketika anaknya dilahirkan. Oleh itu, kami amat berbesar hati dan berbangga mempunyai seseorang sepertinya di dalam pasukan.”

Disiarkan pada: June 30, 2017 @ 11:34am
d