arena

Buru pemain bertaraf dunia

Oleh Reuters

London: Ketua pegawai eksekutif Arsenal Ivan Gazidis memberitahu penyokong bahawa kelab itu sedang memburu pemain utama dunia dalam usaha mengukuhkan pasukan dan mereka juga mempertahankan keputusan melanjutkan kontrak pengurus Arsene Wenger walaupun dibantah sebahagian besar peminat.

Sekumpulan penyokong meluahkan rasa tidak puas hati dengan Wenger apabila Arsenal gagal ke saingan Liga Juara-Juara tetapi impian mereka untuk melihat perubahan tidak kesampaian apabila pengendali itu menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun, hujung musim lalu.

“Kami sedang mencari pemain berkualiti,” kata Gazidis dalam satu majlis yang diadakan khas untuk penyokong Arsenal.

“Skuad pencari bakat kami berusaha tiga kali ganda berbanding empat tahun lalu. Saya percaya, untuk menjadi kelab bertaraf dunia, anda juga perlu memiliki pemain bertaraf dunia di atas padang.”

Sebahagian penyokong tidak tahu hala tuju kelab sejak dikendalikan Wenger tambahan pula pengendali itu enggan berbelanja besar untuk membeli pemain yang mampu membawa Arsenal ke peringkat lebih tinggi.

Hasilnya, Arsenal muncul juara Piala FA tetapi sekadar menamatkan saingan liga di tempat kelima selain gagal ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 21 tahun lalu.

Gazidis bagaimanapun menafikan ada unsur-unsur peribadi yang mendorong mereka untuk melanjutkan kontrak Wenger.

“Ia bukan disebabkan itu,” katanya. “Ia adalah perkara lain... saya amat menyayangi kelab ini dan saya menghargai kelab ini. Saya mahu kelab ini berjaya.”

Ketika khabar angin menyebut Alexis Sanchez mahu berpindah ke kelab lain, ramai yang beranggapan perkara itu tidak akan berlaku andai Wenger berjaya mencipta kejayaan buat kelab.

Gazidis mengharapkan penyokong supaya terus bersatu.

“Terdapat beberapa perkara yang kita tidak sependapat,” katanya. “Terdapat isu tidak puas hati dan tidak bersatu padu. Lembaga pengarah kelab sedar akan hakikat itu.

“Saya merayu, beri peluang kepada pengurus dan teruskan sokongan anda.”

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 8:48am
d