arena

Jin Wei kembali temui sentuhan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas sering berdepan prestasi tidak menentu, pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei (gambar) mempamer aksi meyakinkan pada saingan Terbuka Taiwan apabila menempah tiket ke separuh akhir, hari ini.

Bekas juara dunia remaja 2015 itu melakukannya selepas menewaskan wakil tuan rumah Pai Yu Po 21-15, 21-17 pada aksi suku akhir semalam di kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas itu.

Perkembangan positif itu pasti memberi keyakinan semula kepada Jin Wei yang diberi harapan besar pada pentas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos ini.

Bagi jurulatih perseorangan wanita Sairul Amar Ayob, beliau mengaku Jin Wei bukan berada pada tahap terbaik ketika ini, namun dia mampu mencapai keputusan terbaik andai dapat memperbaiki tahap kecergasannya.

“Lihat saja aksinya pada saingan di sini, saya boleh katakan dia mempunyai kualiti untuk bergelar pemain berstatus bintang.

“Dia hanya perlu memperbaiki tahap kecergasannya saja. Jika dia dapat mengatasi masalah itu, Jin Wei mampu melangkah lebih jauh,” katanya.

Pada aksi separuh akhir hari ini, Jin Wei bakal bertemu pemain Jepun Haruko Suzuki.

Turut mengikut jejak langkah Jin Wei adalah pemain beregu lelaki negara Chooi Kah Ming-Loh Juan Shen yang menewaskan wakil Korea Selatan Choi Solgyu-Kim Jae Hwan 14-21, 22-20, 28-26 di suku akhir semalam.

Gandingan negara itu yang bakal beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bulan depan akan bertemu pilihan kedua kejohanan yang juga wakil tuan rumah, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin hari ini.

Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia turut cemerlang apabila menewaskan pilihan kelapan dari Thailand Khosit Phetpradab 21-19, 21-16 untuk menempah tiket separuh akhir, hari ini.

Bagaimanapun, beregu wanita negara Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada gandingan Korea Selatan Chae Yoo Jung-Kim So Yeong 21-17, 12-21, 15-21 pada aksi suku akhir semalam.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 8:59am
d