arena

Sukan erat perpaduan

Oleh Mohd Badlishah Mohd Ali

Kuala Lumpur: Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, visi dan misi Kelab Sukan SportsUnite tidak pernah berubah iaitu memperkasakan perpaduan peringkat akar umbi melalui aktiviti sukan.

Terkini, mereka dengan kerjasama MVP Marketing & Event menganjurkan Karnival Bola Keranjang Perpaduan 3 Lawan 3 U R My Bro 2017 merebut Piala Datuk Yeoh Choo Hock kali ke-2 yang berlangsung di SJKC Kung Min, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebanyak 48 pasukan bawah 15 dan 18 tahun menyertai acara yang turut mendapat sokongan padu MILO, minuman Isotonik Revive dan Molten itu.

Menariknya, semua pasukan mematuhi peraturan penganjur iaitu wajib mendaftar pemain yang berbilang kaum dan semua pemain menerima baju-T Milo secara percuma.

Choo Hock adalah tokoh sukan yang banyak jasa kepada bola keranjang. Beliau memegang jawatan selaku Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Persatuan Bola Keranjang Asia dan naib presiden Persatuan Bola Keranjang Dunia.

Sempena jasa besarnya dalam sukan itu, penganjur mewujudkan trofi khas yang sempena nama beliau untuk edisi kedua kejohanan ini.

Pada perlawanan akhir kategori bawah 15 tahun, pasukan MVP Kepong muncul juara selepas yang menewaskan Thug Life dengan jaringan 8-4. Skuad Cincai dari Kajang turut mencatat nama selaku juara selepas memadam impian Swing Man dari Shah Alam dengan jaringan 6-3.

Empat pasukan terbaik menerima trofi, pingat, barangan MILO, Revive dan Molten. Choo Hock turut hadir menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah kepada semua pasukan.

Beliau turut memuji penganjur kerana berjaya menarik minat semua kaum menyertai kejohanan ini dan yakin sukan bola keranjang mampu melahirkan lebih ramai pemain berbilang kaum.

Disiarkan pada: July 2, 2017 @ 8:15am
d