arena

PLBM sasar empat emas Sukan SEA

Kuala Lumpur: Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) meletakkan sasaran empat emas untuk diraih atlet negara pada Sukan SEA bulan depan.

Menurut Presiden PLBM Datuk Wan Zawawi Wan Ismail, dua emas diharapkan mampu dihasilkan menerusi atlet lelaki manakala dua lagi dalam kategori wanita.

Boling padang menawarkan lapan emas secara keseluruhan menerusi acara perseorangan, berpasangan, bertiga dan berempat bagi kategori lelaki dan wanita.

“Saya cukup yakin sasaran mampu diraih selepas menilai pencapaian atlet di beberapa kejohanan antarabangsa. Atlet mempamerkan peningkatan sekali gus memberikan keyakinan kepada PLBM,” katanya.

PLBM menyenaraikan 20 atlet untuk beraksi dalam lapan acara dengan setiap atlet hanya dibenarkan untuk menyertai satu acara saja.

“Ini adalah kombinasi terbaik bagi setiap acara namun ia masih bergantung kejohanan pra Sukan SEA hujung bulan ini yang turut membabitkan penyertaan Thailand, Filipina dan Brunei.

“Ia peluang terbaik untuk mengukur kemampuan atlet negara, sebagai rujukan untuk memastikan pasukan bersedia untuk menghadapi Sukan SEA,” jelasnya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 11:40am
d