arena

Obor Sukan SEA dah mai Penang

Oleh BERNAMA

LARIAN Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 tiba Markas Pasukan Polis Marin, di Georgetown, hari ini.

Seramai 800 peserta menyertai larian obor di Pulau Pinang yang juga negeri kesembilan dilalui Obor Sukan SEA ke-29 selepas Sarawak. Larian bermula pada 8 Jun lalu.

Permulaan larian di negeri ini bermula dengan pelepasan enam perenang yang diketuai Inspektor Adni Shaari membawa obor merentasi Pantai Jerejak bermula 6.30 pagi dan tiba di Jeti Markas Pasukan Polis Marin Batu Uban di Georgetown kira-kira 8.45 pagi.

Sejurus tiba di Markas pasukan Polis Marin, Larian Obor KL 2017 disambut oleh Komandan Pasukan Polis Marin Asisten Komisioner Rosman Ismail sebelum diserahkan kepada Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang Syed Shaari Syed Abdullah.

Larian Obor KL2017 peringkat Pulau Pinang kemudian diteruskan dengan acara pelepasan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye.

Larian menuju ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri itu diketuai Syed Shaari.

Obor berkenaan akan dipamer kepada orang ramai di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban dari 12 tengah hari hingga 5 petang hari ini sebelum dibawa oleh pelari ke Seberang Perai.

Di Seberang Perai, obor akan dipamer pada Rabu ini di Dewan Sri Mutiara di Politeknik Seberang Perai sebelum pelari membawa obor itu ke Perak keesokannya.

Larian Obor KL2017 dijadual berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, menandakan bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 12:41pm
d