arena

Jackie, Grace prospek emas negara

Kuala Lumpur: Andai atlet baling tukul besi negara Jackie Wong dan Grace Wong terus konsisten, tidak mustahil mereka mampu meletakkan nama sebagai penyumbang emas di temasya Sukan SEA bulan depan.

Malah keyakinan itu turut dilaungkan oleh jurulatihnya Gu Yuan selepas kedua-dua mereka berjaya memperbaharui rekod kebangsaan tahun ini.

Tegas jurulatih dari China itu, beliau yakin jika Jackie mampu melakukan balingan antara 65 ke 66 meter manakala Grace melakukan 60 atau 61m, emas bukan sesuatu yang mustahil.

Apa yang menggembirakan Gu Yuan, kedua-dua anak didiknya itu sudahpun berjaya melakukan balingan seperti yang disasarkan.

Terbaru Jackie, 24, melakukan balingan terbaik 65.34 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan di Jeongseon untuk meraih pingat perak.

Catatan itu memadam rekod lama miliknya sendiri 64.95m yang dilakukan pada Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan di Kangar, 19 Mei lalu.

Manakala Grace melakarkan rekod baru kebangsaan dengan balingan 60.99m pada April lalu.

“Terima kasih kepada KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) kerana memberi mereka peluang berlatih dan menyertai pertandingan di Korea. Ia sangat membantu atlet negara ketika di Malaysia acara baling tukul besi ini kurang dipertandingkan.

“Prestasi Jackie dan Grance juga semakin baik dan mengikut segala perancangan yang dirangka.

“Saya yakin balingan mereka akan terus meningkat lagi selepas ini dan peluang untuk emas juga cerah,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 1:04pm
d