arena

Banyak kesan jika tangguh aksi: Kevin

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam berharap semua pihak faham dengan implikasi yang berlaku seandainya saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan hingga ke hujung November.

Katanya, penangguhan perlawanan bulan ini ke November akan menyebabkan Liga-M musim depan akan bermula lewat dan sekali lagi mengundang masalah sama jadual padat.

“Setakat ini tak ada permohonan rasmi dari mana-mana pihak untuk menangguhkan jadual perlawanan bulan ini tapi saya dengar ada yang mahu ia dibuat.

“Kalau kita tangguh perlawanan untuk memberi ruang kepada pasukan melepaskan pemain menyertai skuad bawah 22 tahun, akan ada dua perlawanan berlangsung di awal bulan dan dua perlawanan pada hujung bulan ini sebelum saingan kembali berehat sempena Sukan SEA bulan depan. Jadi liga kita baru saja bersambung dan kemudian berhenti semula.

“Bila perlawanan dibawa ke November maka pasukan tidak mempunyai banyak masa bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim depan dan saingan liga 2018 akan bermula lewat pada Februari,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan masalah yang dihadapi jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk membawa skuad terbaik ke saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok dari 19-23 Julai ini apabila hampir separuh daripada 26 pemain yang dipanggilnya tidak mendapat pelepasan pasukan.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 9:00am
d