arena

'Bos saya Norza!'

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Saya akan bekerja dengan seorang bos saja.”

Demikian tegas ketua jurulatih baru perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek yang hanya akan bekerja di bawah satu ketua saja iaitu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Jelas Misbun, beliau tidak mahu sepanjang tugas yang dipikulnya itu diganggu dengan arahan dari pelbagai pihak kerana ia mungkin akan memberi impak yang kurang baik.

“Saya tidak mahu ‘bos’ lain supaya ia menyenangkan dan memberi keselesaan kepada saya ketika melakukan kerja.

“Kebiasaannya bila terlalu banyak suara, memang ia sedikit sebanyak memberi input tapi dalam soal untuk saya membuat keputusan adalah sukar.

“Kita sekarang menuju ke arah pembangunan dan juga mahukan keputusan yang baik. Jadi kalau banyak suara ia akan bertambah mengelirukan,” katanya pada sidang media semalam selepas melapor diri pada hari pertama sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Misbun sebelum itu ditanya bagaimana kerjasamanya dengan Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen selepas ini.

Bagaimanapun Misbun berkata, beliau tetap akan memberikan kerjasama dengan Frost dalam perkara yang memerlukan kerjasama membabitkan kedua-duanya.

“Pengarah Teknikal mempunyai tugasnya. Saya pula akan bekerjasama menerusi apa yang saya perlukan.

“Tapi buat masa sekarang bos utama saya adalah Datuk Seri Norza,” katanya.

Sementara itu ditanya adakah beliau mampu membantu Chong Wei terutama di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan depan, Misbun menegaskan Chong Wei sememangnya perlu dibantu.

“Sejak kebelakangan ini, dia kalah dengan pemain yang pada awalnya menjadikan Chong Wei sebagai idola.

“Mereka sudah tahu corak permainannya. Chong Wei mungkin tidak menyedari perkara itu dan ini antara aspek yang perlu dibantu,” ujarnya.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 9:32am
d