arena

Peserta tempatan kuasai larian

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Peserta tempatan berjaya memberikan saingan sengit kepada pelari luar negara dalam perlumbaan Separuh Maraton Nilai 2017 di Dataran Nilai, baru-baru ini.

R Thevan dan S Sheela masing-masing mendominasi kategori utama Terbuka Lelaki dan Wanita manakala bekas pelari kebangsaan R Vadivelo dan Yuan Yu Fang mengungguli kategori Veteran Lelaki dan Wanita.

Naib juara dan tempat ketiga kategori lelaki milik Muhaizar Muhamad dan Mohd Amirulamin Manan manakala bagi kategori wanita pula dimenangi Tho Siaw Khim dan Yap Yee Ling.

K Baskaran dan Shaharuddin Hasim pula memenangi tempat kedua dan ketiga kategori Veteran lelaki sementara Lee Khum Chiew dan Norul Ashikin Ahmad bagi kategori wanita.

Semua empat kategori itu membabitkan larian sejauh 21 kilometer.

Juara, naib juara dan tempat ketiga bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, RM2,300 dan RM1,500 berserta pingat.

Perlumbaan edisi kedua anjuran Majlis Perbandaran Nilai (MPN) itu disertai seramai 1,000 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Selain itu, atlet luar negara turut mengambil bahagian termasuk dari Singapura, Kenya, Kanada, Australia, Myanmar, Jepun dan Korea Selatan yang menyertai kategori maraton.

Pelepasan peserta larian disempurnakan Ahli Majlis MPN Alan Lai Chien Kong.

Pengarah Jabatan Komuniti dan Perhubungan Awam MPN Saiful Azuar Ahmad Jadi berkata, objektif utama larian itu bertujuan menyediakan ruang kepada ahli keluarga dan masyarakat untuk beriadah di samping meningkatkan perpaduan dan ikatan kesepaduan dalam kalangan pelbagai kaum.

Katanya, larian sejauh 21km itu mengelilingi Bandar Baru Nilai, Pekan Nilai Lama dan Batang Benar.

“Penganjuran larian ini juga sebahagian usaha memperkenalkan Bandar Baru Nilai yang semakin pesat membangun sekali gus menggalakkan aktiviti pelancongan,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan Yang Dipertua MPN Datuk Abd Halim Abd Latif.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 9:45am
d