arena

Helang Merah terbang tinggi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEDAH memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh perlawanan pertama kumpulan C Piala Malaysia menentang Melaka United di Stadium Darulaman malam ini.

Walaupun bermain tanpa beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan namun Helang Merah membuktikan kemampuan mereka apabila menang 2-0 ke atas Melaka United.

Pelawat turut nyaris menjaringkan gol pertama namun sepakan dari luar kotak penalti oleh Mohd Azinee Taib m-17 hanya melepasi palang gol.

Tuan rumah kemudian turut membalas serangan seminit kemudian menerusi Sandro Da Silva namun tendangannya hanya terkena palang gol.

Bagaimanapun serangan tidak henti tuan rumah membuahkan hasil apabila Sandro Da Silva menceriakan penyokong Helang Merah selepas tendangan lereknya berjaya mengalahkan penjaga gol pelawat Mohd Fazli Paat menjadikan kedudukan 1-0 m-29.

Bermula separuh masa kedua tuan rumah terus menggandakan asakan ke kubu pelawat dan Mohd Syazwan Zainon nyaris menambah gol namun sepakan lencongnya m-47 tersasar.

Malah tandukan pemain Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad pada m-52 turut gagal menghasilkan gol apabila hanya melepasi palang gol.

Selang seminit kemudian giliran Liridon mencuba nasib namun sepakannya turut terkena tepi tiang gol dan gagal menghasilkan jaringan.

Liridon sekali lagi mensia-siakan peluang menambah jaringan pada minit ke 59 apabila tendangannya hanya melepasi palang gol.

Penantian tuan rumah menambah jaringan akhirnya berhasil menerusi sepakan Baddrol Bakhtiar m-63.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 11:32pm
d