arena

Perubahan taktikal Lang Merah menjadi

Alor Setar: Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas menewaskan Melaka United 2-0 dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Menurutnya, perubahan taktikal dilakukannya bagi memantapkan setiap posisi selepas Lang Merah tewas perlawanan Liga Super sebelum ini mula membuahkan hasil.

“Pemain berhak mendapat pujian kerana mereka sudah bermain baik seperti diharapkan.

“Walaupun masih ada kesilapan, dengan adanya Arif Farhan dan Baddrol Bakhtiar, kami dapat memperbaiki beberapa kelemahan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Nidzam berkata, selaku penyandang Piala Malaysia, fokus Kedah ketika ini adaslah mahu mempertahankan kejuaraan selain cuba mengintai peluang menjulang Liga Super.

“Bagaimanapun, pemain muda kami masih perlu diberi banyak pendedahan dalam menggalas tanggungjawab pemain utama yang mengalami kecederaan.

“Pemain muda ini perlu membuat keputusan tepat dan cepat terutama dalam situasi tertekan. Saya yakin prestasi mereka akan meningkat dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Melaka United Eduardo Almeida yakin pemainnya akan memberikan aksi lebih baik pada pertemuan berdepan Kelantan pada perlawanan kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Katanya, dua gol Kedah berpunca daripada kelonggaran jentera pertahanan tetapi semangat tinggi dipamerkan anak buahnya tetap membanggakan.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 9:56am
d