arena

Perisa Eropah Podolski buat Asia

Oleh AFP

BINTANG bolasepak Jerman, Lukas Podolski mahu menyuntik semangat untuk memajukan tahap kompetitif Liga Jepun (J-League) apabila menyertai kelab Vissel Kobe, hari ini.

Penyertaan pemain terbabit mengubah angin pemain ternama lain yang lebih berminat beraksi dalam liga China yang kaya raya.

"Saya tahu J-League adalah terkuat di Asia dan saya bersemangat untuk menceriakan liga ini dengan pasukan saya," kata Podolski memberitahu sidang akhbar selepas tiba di Kobe, dekat Osaka untuk menyertai kelab terbabit.

Penyerang berusia 32 tahun itu sebelum ini beraksi bersama kelab Turki Galatasaray sejak 2015, berkata "ia satu perubahan besar" buat dirinya beraksi di Asia untuk kali pertama.

Podolski beraksi pada tiga Piala Dunia bersama Jerman dan meledak 49 gol untuk negaranya berkata dia tidak berdepan dengan sebarang tekanan.

"Kita perlu bekerja keras, berlatih dan bertarung di atas padang selama 90 minit untuk cuba mendapat tiga mata pada setiap perlawanan," katanya.

Kobe tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai kontrak pemain terbabit tetapi Podolski difahamkan mengikat kontrak selama beberapa tahun dengan nilai tahunan US5.3 juta (RM22 juta).

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 4:12pm
d