arena

'Boxingfest' di Mid Valley

Kuala Lumpur: Selepas 42 tahun, Majlis Tinju Dunia (WBC) kini bakal membawa kembali acara tinju profesional ke Kuala Lumpur.

Acara itu akan berlangsung di Health, Beauty and Fitness Expo Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Ahad ini.

BoxRanx’s ‘Boxingfest’ adalah acara tinju profesional WBC ketiga di Malaysia sejak menampilkan pertarungan antara legenda Muhammad Ali dan Joe Bugner pada 1975. Dalam perlawanan di Johor Bahru, Januari lalu menyaksikan Muhamad Farkhan Mohd Haron diangkat menjadi juara WBC Asia kategori light heavyweight.

Acara kali ini membariskan 10 perlawanan dan menampilkan petinju profesional dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Amerika Syarikat dan India.

Perlawanan pertama bakal menyaksikan persaingan antara petinju Filipina Carlo Magali yang mempunyai rekod 21 menang, 9 kalah menentang lawan dari India Sandeep Balhara (4 menang, 0 kalah) bagi kategori featherweight.

Anak kelahiran Malaysia Hui Keng Fai (gambar, 2 menang, 0 kalah) akan bersaing dalam arena tinju profesional buat kali pertama di tanah air dan WBC.

Dia bakal menentang petinju baru Sam Chan, veteran MMA yang beraksi buat kali pertama dalam acara tinju profesional.

Antara kemuncak adalah ‘Fight Card’ dengan dua anak kebanggaan Sabah dan Sarawak Stephen Onn Anak Jenggieng (2 menang, 1 kalah) dan Eddey Kalai yang pernah meraih emas Sukan SEA dan SUKMA.

Petinju termuda, Theena Thayalan antara pesaing yang bakal memberikan tentangan hebat. Hanya berumur 19 tahun, dia mempunyai rekod 95 perlawanan amatur dan pernah menjuarai SUKMA pada 2016, sekali gus menjadi pemenang emas paling muda dalam sejarah sukan tinju temasya itu.

WBC adalah satu daripada empat badan sah yang menjadi nadi penggerak Kejohanan Tinju Sedunia bersama Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Organisasi Tinju Dunia (WBO).

Tiket boleh didapati dengan melayari www.ticketpro.com.my dengan harga bermula dari RM98. Maklumat lanjut, hubungi WBC Malaysia dengan melayari https://www.facebook.com/
WBCMalaysia/.

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 10:32am
d