arena

Bola Shebby: Bukan semua pengadil ikhlas

Oleh Serbegeth Singh

‘Laws of the game’ atau undang-undang perlawanan menjadi topik utama bola sepak minggu lalu dan perkara ini amat menarik perhatian. Dua legenda bola sepak Malaysia yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing terbabit dalam isu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Subkhiddin Mohd Salleh serta ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh adalah dua individu yang dihormati dengan pencapaian masing-masing dalam arena bola sepak. Selepas kontroversi ketika FELDA United menewaskan Pahang pada aksi Liga Super, timbul persoalan mutu pengadil.

Dollah meluahkan perasaan tidak puas hati serta kecewa dengan persembahan pengadil Mohamed Zamzaidi Katimin. Sebagai jurulatih dan dalam keadaan emosi tinggi, Dollah menyuarakan isi hatinya pada waktu itu. Ini kali pertama Dollah begitu berang dan reaksinya sesuatu yang di luar dugaan kerana selalunya beliau seorang yang penyabar.

Beberapa hari kemudian, Subkhiddin mempersoalkan pula pemahaman ‘Laws of the Game’. Beliau menyatakan pengadil sudah lebih lama belajar undang-undang perlawanan daripada Dollah.

Kenyataan itu boleh dianggap penghinaan terhadap seorang jurulatih serta bekas pemain bola sepak yang dianggap antara yang terbaik pernah dilahirkan Malaysia.

Sebagai pemain, kita dididik dan diajar undang-undang perlawanan dari peringkat awal. Dalam proses pembesaran serta kemajuan dalam bidang bola sepak, kita memahami undang-undang perlawanan sehingga ia menjadi sebahagian daripada kehidupan.

Sebagai pemain, kita bijak mencuba nasib supaya undang-undang perlawanan memberi kelebihan kepada pasukan diwakili.

Sebagai jurulatih, tanggungjawab lebih berat kerana lebih susah untuk mengajar serta mengawal emosi pemain supaya mematuhi undang-undang perlawanan.

Seterusnya, untuk menyatakan pengadil perlawanan antara FELDA menentang Pahang ‘sudah lebih lama belajar’ undang-undang perlawanan ibarat memercik air di dulang. Ada kalanya, menjadi lebih penting untuk memahami undang-undang perlawanan daripada sekadar belajar.

Baru-baru ini, pada final Piala Konfederasi 2017 di Russia, satu insiden berlaku pada minit ke-65 dengan pemain pertahanan Chile menyiku penyerang Jerman Timo Werner. Kekasaran ini pada mulanya tidak dihiraukan, tetapi apabila dipujuk pemain Jerman maka pengadil setuju menonton insiden itu melalui Video Assistant Referee (VAR).

Kita sedia maklum selepas sekian lama FIFA kini bangkit daripada koma dan ingin membawa perubahan moden kepada bola sepak.

Dengan adanya VAR, maka perjalanan perlawanan serta pengadilan boleh membawa keikhlasan dengan keputusan lebih tepat apabila dibantu untuk melihat semula tayangan insiden tertentu.

Seterusnya, selepas melihat bukti yang begitu jelas berlaku kekasaran berulang kali, pengadil Milorad Mazic hanya berani melayangkan kad kuning kepada Gonzalo Jara. Kita sedia maklum pengadil dari Serbia ini sudah lama belajar undang-undang perlawanan dan kini dibantu dengan teknologi video, akhirnya menyedari berlaku kekasaran ke atas pemain Jerman itu.

Yang menyebabkan penonton serta peminat sesebuah pasukan menjadi marah bukannya reaksi atau emosi jurulatih, tetapi tindakan serta keangkuhan pengadil. Setiap jurulatih sudah peka dengan undang-undang perlawanan, tetapi bukan setiap pengadil mentafsirkan serta menguatkuasakan undang-undang perlawanan dengan ikhlas.

‘Laws of the Game’ walaupun sudah dipelajari, namun masih belum difahami pengadil di merata dunia. Diharap pengadil tidak keterlaluan dalam melaksanakan undang-undang itu.

Disiarkan pada: July 8, 2017 @ 4:29am
d