arena

Usah mengalah!

Oleh Reuters

Spielberg, Austria: Juara Formula Satu, Mercedes membuatkan Lewis Hamilton kecewa namun masih ada ruang lagi untuk bangkit semula, jelas ketua pasukan Toto Wolff semalam selepas pelumba Britain itu ketinggalan dalam perlumbaan merebut kejuaraan.

Hamilton bermula dari petak kelapan di Austria, selepas dikenakan penalti kerana menukar kotak gear tanpa dirancang dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat di belakang rakan sepasukan dari Finland, Valtteri Bottas yang muncul juara.

Grand Prix Austria salah satu daripada sembilan perlumbaan yang berjaya ditawan Hamilton tahun lalu.

Pemandu Ferrari yang mendahului kedudukan keseluruhan Sebastian Vettel meneruskan penguasaan selepas menjarakkan pungutan mata kepada 20 apabila meraih tempat kedua.

“Pada pendapat saya, Lewis berdepan pelbagai nasib kurang baik yang mampu dialami oleh setiap pemandu.

“Kami mengecewakannya dengan masalah sokongan kepala, kotak gear. Sekarang adalah masanya untuk bangkit semula dan saya harap ia akan berlaku di Silverstone,” kata Wolff.

Litar Silverstone adalah perlumbaan di laman sendiri buat Hamilton hujung minggu ini.

Vettel dan Hamilton, kedua-duanya sudah memenangi tiga perlumbaan musim ini dan meraih mata di setiap perlumbaan namun Hamilton agak kurang konsisten.

Juara dunia tiga kali itu menaiki podium sebanyak empat kali dalam sembilan perlumbaan, manakala Vettel hanya dua kali gagal menaiki podium di Kanada dan Azerbaijan.

“Sudah tentu ia memberi kesan. Ketinggalan 20 mata. Ia bukan sesuatu yang hebat tapi ia mampu untuk menjadi 30 hari ini (kelmarin).

“Saya tidak rasa ia dari pihak saya untuk melakukan sesuatu kerana saya sudah melakukan apa yang sepatutnya. Ia bukan disebabkan pasukan tidak menyebelahi saya atau mereka tidak bekerja keras atau saya tidak memaksa mereka dengan lebih tegas,” kata Hamilton.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 4:40am
d