arena

Bangga tempat ketiga

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Jurulatih futsal Melaka United, Mohd I’sah Abd Rahim berpuas hati selepas pasukannya menduduki tangga ketiga pada Kejohanan Futsal Kelab AFF 2017 di Bangkok, berakhir kelmarin.

Mohd I’sah berkata, walaupun ia penyertaan julung kali buat pasukan futsal Melaka pada kejuaraan kelab Asia Tenggara itu namun pemain mampu memperagakan persembahan yang amat membanggakan.

Malah aksi tanpa tewas di peringkat kumpulan termasuk seri 1-1 dengan kelab dari Vietnam, Sanna Kahn Hoa FC, seri 3-3 dengan East Coast Heat FC dari Australia dan menang 8-2 ke atas pasukan dari Laos, Vientiane Capital FC menjadi tonik berharga untuk berdepan Thai Port pada separuh akhir.

Menurutnya, pengalaman luas Thai Port bagaimanapun gagal dicabar anak buahnya, walaupun pada awalnya mendahului 1-0 buat seketika sebelum lawan mendominasi perlawanan, tambahan kecederaan beberapa pemain utama pasukannya.

“Apa yang pasti kejohanan ini menyuntik banyak pengalaman kepada pemain Hang Tuah untuk beraksi dengan lebih baik pada masa depan.

“Paling melegakan pemain kami berjaya menewaskan wakil dari Indonesia, Permata Indah Manokwari FC 4-2 pada perlawanan penentuan tempat ketiga,” katanya.

Prestasi memberangsangkan United yang mewakili Malaysia membolehkan skuad itu kian dikenali di peringkat Asia Tenggara.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 5:24am
d