arena

Harimau Selatan tetap waspada

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Walaupun impian Johor Darul Ta’zim (Johor DT) ingin memburu kemenangan namun pasukan itu tetap berwaspada dengan corak permainan Pahang apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Malah pengendali Johor DT, Ulisses Morais mengingatkan barisan pemain skuad Harimau Selatan yang bakal diturunkan supaya bersikap positif dan sentiasa fokus sepanjang 90 minit selain beraksi tanpa tekanan.

Beliau berkata, walaupun skuad Tok Gajah beraksi di laman sendiri dan kelebihan memihak pasukan itu namun sebagai pelawat, Johor DT harus memberi persembahan terbaik dan cuba meraih tiga mata di tempat lawan tatkala ingin menjarakkan kedudukan mata.

“Saya pernah melihat Pahang beraksi ketika berada di Johor Bahru, April lalu dan apabila saya menyertai Johor DT, rakan jurulatih, Ismail Ibrahim, Raul Longhi dan Khairul Azman Mohamad memberi informasi dan juga kami mengkaji corak permainan pasukan itu menerusi rakaman video.

“Ternyata Pahang ada kekuatan dan kelemahan tersendiri dan saya tidak anggap prestasi tidak menentu pasukan itu sejak kebelakangan ini akan memberi kelebihan kepada Johor DT sebaliknya kami kena berwaspada dengan helah corak taktikal yang akan digunakan pasukan itu.

“Mungkin bagi peminat bola sepak tempatan pertembungan Johor DT-Pahang ibarat perlawanan tumpuan namun bagi saya ia tiada perbezaan malah sama seperti pertembungan lain,” katanya.

Mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan, Morais tampak enggan mendedahkan barisan utama skuad Harimau Selatan sebaliknya hanya memaklumkan kecederaan yang dialami Ignacio Insa, Azammuddin Akil dan Dominic Tan.

Bagaimanapun beliau mengesahkan kecederaan yang dialami Insa tidak serius namun perlu dipantau sebelum membuat keputusan sama ada akan menurunkan pemain itu dalam kesebelasan utama selain belum memutuskan untuk menurunkan Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera, Marcos Antonio dan Mohammed Ghaddar.

“Tidak pasti lagi kelibat Guerra, cabrera, Antonio dan Ghaddar diturunkan... tunggu saja sebelum perlawanan itu dan apa yang boleh saya katakan kesemua pemain bebas daripada penggantungan,” kata Morais.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 5:50am
d