arena

Skuad tenis tekad buat kejutan

Kuala Lumpur: Barisan atlet tenis negara yang bakal beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan berazam melakukan kejutan sambil berharap tuah selaku tuan rumah akan memihak kepada mereka.

Menurunkan barisan terbaik yang pernah dimiliki, jurulatih Muliyadi Jamal berkata, tenis menyasarkan dua pingat gangsa dalam acara beregu lelaki serta wanita dan ia sasaran realistik berdasarkan ranking semasa.

Bagaimanapun, atlet negara akan berdepan barisan pemain handalan terutama dari Thailand, Vietnam dan Indonesia yang menduduki ranking jauh lebih baik.

Katanya, Thailand memiliki pemain berpengalaman yang pernah beraksi di Grand Slam manakala pemain Indonesia seperti Cristopher Rungkat pernah beraksi di Wimbledon sambil Ly Nam Hoang dari Vietnam adalah bekas juara remaja Wimbledon.

“Secara realistik, dua gangsa itu tidak mustahil dan jika keadaan memihak kepada kita serta pemain dapat bermain dengan baik, mungkin mereka boleh menukar warna pingat itu.

“Kejutan itu bukan satu yang mustahil. Kita tunggu masa Sukan SEA itu nanti,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pingat dalam acara perseorangan, Muliady berkata ia adalah sukar terutama dengan kehadiran penyandang pingat dari Thailand Luksika Kumkhum dan Varatchaya Wongteanchai.

Namun, sandaran mungkin boleh diletakkan kepada Jawariah Noordin yang kini menduduki ranking kelapan terbaik Asia Tenggara untuk mara ke peringkat akhir.

Sukan tenis menawarkan lima emas iaitu empat dalam acara individu dan beregu lelaki wanita dan satu emas dalam berpasukan.

Dua tahun lalu, skuad tenis negara berjaya menyumbangkan satu gangsa dalam acara lelaki berpasukan.

Tenis pernah menyumbang pingat emas menerusi beregu wanita negara Radhika Menon dan Lim Kheow Suen pada Sukan SEA 1973 (dikenali Sukan SEAP ketika itu) dan pencapaian terbaik negara hanyalah perak pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur bagi acara berpasukan wanita.

Skuad tenis negara dibarisi lima atlet lelaki terdiri daripada Ahmad Deedat Abdul Razak, Asri Marzuki, Syed Mohd Agil Syed Naguib, Oliver Lee dan Koay Hoa Seng.

Manakala pemain wanita dibarisi Jawariah, S Thievya, Suhana Sofea Adam dan Aslina Chua.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 6:15am
d