arena

Baddrol tunai hajat Muhammad Faridz

Oleh Zulfa Mohammad

IMPIAN seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menderita kanser hidung untuk bertemu idolanya, pemain bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar akhirnya menjadi kenyataan, hari ini.

Muhammad Faridz Izwan Abu Seman yang kini menerima rawatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia, Bertam, Kepala Batas, dikunjungi Baddrol jam 11 pagi.

Bapanya, Abu Seman Ismail, 59, berkata Baddrol meluangkan masa hampir sejam dengan Muhammad Faridz.

"Walaupun dalam keadaan lemah kerana menjalani rawatan radioterapi kelmarin, namun Muhammad Faridz kelihatan bersemangat sebaik bersalaman dengan Baddrol.

"Sebelum ini dia (Muhammad Faridz) sering meluah hasrat bertemu Baddrol setiap kali perlawananan membabitkan Kedah dan akhirnya impian itu jadi kenyataan," katanya.

Muhammad Faridz murid Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis, Perlis dimasukkan ke IPPT pada hari raya kedua lalu berikutan keadaan fizikalnya makin merosot.

Sebelum ini, dia yang menyokong Kedah sentiasa berharap untuk bertemu Baddrol Bakhtiar sebelum menjalani rawatan lanjut.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 2:01pm
d