arena

Baddrol terharu semangat juang Faridz

Oleh Izzali Ismail

PEMAIN senior Kedah, Baddrol Bakhtiar teruja dapat menunaikan hasrat peminatnya ciliknya, Muhammad Faridz Izwan Abu Seman, 12, untuk bertemu dengannya, hari ini.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis itu adalah pesakit kanser hidung tahap empat dan kini menjalani rawatan kimoterapi di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia, Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Menurut Baddrol, sebaik mengetahui berita Muhammad Faridz Izwan melalui aplikasi WhatsApp pada Ahad lalu, dia terus merancang untuk melawatnya sebaik pulang dari Melaka semalam.

"Alhamdulillah hari ini saya sempat melawat dia (Faridz). Saya terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh Faridz sebagai penyokong pasukan Kedah dan menjadikan saya sebagai idolanya.

"Saya mendoakan kesihatan Faridz kembali normal dan seterusnya pulih daripada penyakit dialaminya," katanya ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini.

Baddrol berkata, dia kagum dengan semangat Muhammad Faridz Izwan melawan penyakit dihidapinya.

"Faridz mempunyai semangat juang yang tinggi melawan penyakitnya dan saya berharap dengan kekuatan dan semangat itu dapat membantunya pulih," katanya yang meluangkan masa sejam bersama kanak-kanak terbabit.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 9:32pm
d