arena

'Kami bekerja sebagai satu pasukan'

Kota Bharu: “Saya tidak ada masalah dengan Zahasmi Ismail (jurulatih). Kami bekerjasama baik,” kata Pengarah Teknikal Kelantan Alfredo Gonzalez.

Beliau menjawab tuduhan dilemparkan peminat yang mendakwa hubungannya dengan Zahasmi bermasalah hingga mengganggu perancangan pasukan.

Gonzalez berkata, sejak dilantik memimpin The Red Warriors (TRW) beberapa bulan lalu, beliau dan Zahasmi tidak mempunyai sebarang masalah sebaliknya, saling membantu antara satu sama lain.

Katanya, dakwaan dilemparkan itu tidak berasas sama sekali.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan dan Zahasmi banyak membantu saya mengenali pemain dengan lebih dekat selain menguruskan persiapan pasukan.

“Kami cuba buat yang terbaik bagi memastikan pasukan mampu bangkit dalam menghadapi saingan seterusnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengulas mengenai rentetan kekalahan dalam beberapa perlawanan terakhir, beliau berkata pihaknya masih berusaha mencari ramuan terbaik untuk memperkasakan lagi pasukan.

Justeru, beliau berharap penyokong Kelantan terus memberi sokongan padu kepada pasukan terutama pada saat getir seperti sekarang.

Sementara itu, Zahasmi ketika diminta mengulas mengenai gambarnya yang duduk di tempat penonton ketika perlawanan menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menjadi tular di laman sosial berkata, tiada yang pelik mengenai hal itu kerana beliau sendiri memilih untuk duduk di situ.

Katanya, beliau mahu memantau perlawanan dari sudut lebih luas bagi mengenal pasti kelemahan pasukan.

“Sebelum ini, tugas itu dilaksanakan penolong jurulatih Sidek Shamsudin tapi disebabkan beberapa perkara, beliau tidak dapat melakukannya,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 10:43am
d